RINGKASAN "USUL 20" SERTA KETERANGAN-PART 1

Wednesday, January 20, 2010

USUL DUA PULUH

ASAS PERTAMA:

Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.

1.1 Keterangan:

Islam adalah agama Allah yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh kerana Islam diturunkan untuk semua manusia, ini jelas dibuktikan oleh firman Allah:

“Dan kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada ummat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi ingat”. (S 34: 28)

Menyeluruh kerana Islam menghukum seluruh urusan hidup manusia,menghukum segala sesuatu yang dilakukan oleh manusia dan perkara yang bersangkut dengan apa yang mereka lakukan. Ini dibuktikan oleh firman Allah:

“Dan Kami turunkan Al-quran itu untuk menjelaskan segala sesuatu”(S 16:89)

1.2 Islam adalah negara:

Islam adalah negara, sebagaimana yang diterangkan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam telah menyentuh hukum-hukum yang menitik beratkan persoalan negara. Islam bukanlah terbatas dalam lingkungan hubungan manusia dengan Allah, malah Islam juga menyusun hubungan antara sesama manusia, hubungan individu dengan jamaah, hubungan jamaah dengan jamaah yang lain. Jamaah ini pula memilih suatu sistem siasah yang didokong oleh negara, manakala negara pula mempunyai seorang ketua yang dikenal:dalam istilah fiqah sebagai imam atau khalifah. Islam telah menerangkan asas bagi sebuah negara, cara memilih khalifah, menerangkan hak individu terhadap negara, demikian juga hak negara terhadap individu. Dalam zaman moden ini kajian dan perbincangan yang lengkap dalam persoalan negara dan hubungannya dengan individu adalah dibincangkan dalam undang-undang perlembagaan dan undang-undang perlembagaan adalah merupakan salah satu dari cabang undang-undang.

Negara (daulah) menurut pandangan Islam adalah negara fikrah, fikrah Islamiah. Oleh itu daulah dalam Islam adalah daulah fikrah, bukan qaumiah, bukan jenis dan bukan iklim.

Ketua negara dipilih melalui orang-orang Islam sesuai dengan syaratsyarat tertentu. Syarat-syarat ini tersimpul dalam dua sifat: kemampuan dan amanah. Tujuan dan perlantikan ketua negara ialah untuk melaksanakan syariat dan membimbing manusia untuk melakukannya

Kedudukan dan peranan individu dalam negara Islam amatlah menonjol dan berfungsi, tidak dipendap dan diabaikan. Individu adalah bertanggungjawab terhadap perjalanan negara agar tidak menyeleweng dan bertanggungjawab terhadap ketua negara agar beliau menunaikan kewajipannya. Atas dasar ini, individu adalah berhak mengawasi, memberi nasihat, memberi petunjuk dan mengkritik. Manakala pihak negara pula adalah bertanggungjawab terhadap individu, bertanggungjawab dalam memberikan jaminan hidup yang mulia kepada individu

1.3 Islam adalah watan:

Islam adalah watan, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam telah menerangkan pengertian watan, dan watan bagi seorang muslim ialah semua negara Islam (Darul Islam). Yang dimaksudkan dengan negara Islam pula ialah: seluruh iklim yang dialami oleh orang Islam, kekuasaan dalam iklim tersebut adalah di tangan orang Islam dan mereka melaksanakan hukum-hukum Islam dalam iklim itu. Tiap-tiap individu muslim adalah berkewajipan mempertahankan dan menghalang musuh dari merampas Darul Islam. Kewajipan ini adalah merupakan hak sebuah Darul Islam terhadap seoang Muslim.

1.4 Islam adalah ummat:

Ummat yang dimaksudkan oleh Al-Mursyid di sini ialah suatu jamaah manusia yang disatukan oleh suatu ikatan. Ikatan ini menjadikan mereka suatu jamaah yang berbeza dari jamaah-jamaah lain, bersatu dan bertaut antara sesame mereka dan ingin hidup bersama dengan penuh harmoni. Islam membangunkan ummat ini di atas asas aqidah Islamiah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan abadi. Dalam Al-Quran Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara.” (S 49:10).Dan FirmanNya lagi:

“Sesungguhnya inilah ummat kamu, ummat yang satu, dan Aku Tuhan kamu, maka sembahlah Aku. “(S 21:92)

1.5 Islam adalah akhlak.

Pengambilan berat Islam terhadap akhlak amatlah jelas, kerana Al-Quran telah menyebutkan akhlak-akhlak yang baik, iaitu akhlak yang menjadi sifat-sifat orang mukmin. Al-Quran menyebutkan sifat-sifat ini dengan cara memuji, menyukai dan menyeru agar berakhlak dengan sifat-sifat tersebut.

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi-pekerti yang agung”. (S 68:4)

Dalam hadis yang mulia disebutkan:

‘Saya (rasul) hanyalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’

Akhlak adalah mempunyai kedudukan yang menonjol dalam dakwah ikhwan dan ikhwan sentiasa mewajibkan diri mereka agar berakhlak dengan akhlak yang dituntut oleh Islam.

Selain dari itu kesempurnaan amal adalah bergantung kepada kesempurnaan maknawi (batin)dan akhlak yang tinggi dan mulia adalah tergolong dalam pengertian maknawi yang akan membuahkan amal yang saleh. Adalah sia-sia kalau kita hanya memperbaiki lahiriah manusia dan menuntut mereka supaya melakukan amal saleh sedangkan kita membiarkan batinnya menjadi mangsa kepada akhlak yang keji. Oleh yang demikian akhlak sepatutnya mendapat perhatian berat dan jiwa haruslah dididik dengan akhlak yang mulia.

Apabila diri telah bersih dari akhlak yang keji ini dan apabila diri telah terhias dengan akhlak yang tinggi dan mulia,seorang Islam akan mempunyai peribadi yang kuat,padu,mengutamakan yang baik, berpengaruh dalam hidup dan tabah dalam menghadapi kebatilan.

1.6 Islam adalah kekuatan:

Pada hakikatnya, Islam memandang berat soal kekuatan dan dengan terus terang menuntut agar mencari sebab-sebab yang membawa kepada kekuatan, firman Allah :

‘Dan siapkanlah apa saja kekuatan yang kamu sanggupi’. (S 8:60)

Rangkaikata Al-Quran ini datang dalam suatu bentuk yang sangat menarik dan umum, mencakup seluruh jenis kekuatan, sama ada kekuatan itu boleh dicapai semasa turunnya Al-Quran atau pada masa-masa kebelakangan.Tuntutan persediaan kekuatan dalam ayat ini adalah merupakan satu tuntutan wajib. Oleh yang demikian ummat Islam adalah wajib menyediakan sebab-sebab untuk menjadi kuat sedaya mampu, sesuai dengan masa dan tempat.

Oleh itu,haruslah ada di kalangan ummat Islam suatu bilangan yang cukup untuk menunaikan tanggungjawab mencari sebab-sebab yang membawakan kekuatan yang seharusnya ada pada ummat Islam. Hal ini kita katakan sesuai dengan kaedah fikah yang mengatakan:

‘Bila kesempurnaan sesuatu yang wajib terhenti kerana wujudnya suatu perkara yang lain, maka perkara tersebut adalah juga wajib’.

kita juga haruslah mempertanggungjawabkan diri kita masing-masing untuk mewujudkan kekuatan ini dan Allah akan menolong kita jika kita berusaha mencarikan sebab-sebab yang membawakan kepada kekuatan ini.

1.7 Islam adalah rahmat.

Rahmat yang dimaksudkan oleh Mursyid di sini ialah perasaan lemah-lembut dalam hati yang mendorong manusia untuk menolong orang-orang lemah dan berhajat, atau memaafkan orang yang tersilap, tidak melakukan tindak-balas terhadap perbuatan jahat orang lain dan merasakan simpati di atas bencana yang menimpa orang lain. Sifat rahmat dan belas kasihan hanyalah wujud dan berfungsi sewaktu ianya dapat menolong pelaksanaan hukum-hukum Allah. Dalam menghukumkan mereka yang melakukan jenayah zina Allah berfirman:

‘Sebatlah lelaki dan perempuan yang melakukan zina seratus rotan. Janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu dari (menjalankan) agama Allah.” (S. 24:2)

1.8 Islam adalah keadilan

Keadilan yang dimaksudkan oleh Mursyid di sini ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak dengan tidak berlaku sebarang kekurangan, kerana keadilan wajib diberikan kepada semua insan, baik Muslim atau kafir, musuh atau kawan, keluarga atau bukan keluarga. Allah berfirman:

“Dan jangan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (S 5:8)

Keadilan akan berlaku melalui hukuman dan kehakiman, juga berlaku dengan pujian, sanjungan, celaan, kritik dan kecaman. Keadilan boleh berlaku dalam keadaan redha atau marah.

Bukanlah adil jika saudara berlaku kejamsewaktu saudara menghukum antara dua orang, saudara juga tidak berlaku adil sewaktu saudara berlebihan memuji orang yang tidak berhak menerima separuh daripada pujian yang saudara berikan. Bukanlah adil jika saudara berlebihan mengecam seorang yang tidak berhak menerima satu persepuluh dari kecaman saudara. Bukanlah adil jika saudara memuji semasa suka dan mengeji semasa benci. Bukanlah adil jika saudara berlaku kejam terhadap mereka yang bukan keluarga saudara atau musuh yang menyakiti saudara, sedang saudara menutup pandangan dari perbuatan keluarga, kawan dan orang yang berlaku baik kepada saudara.

1.9 Islam adalah pengetahuan.

Islam adalah pengetahuan sebagaimana yang dikatakan oleh Mursyid adalah bermaksud bahawa menuntut ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada kita dengan Qadar yang mencukupi adalah sebahagian dari ajaran Islam. Islam tidak melarang seseorang muslim meluaskan ilmu pengetahuannya tetapi beliau haruslah mengingati Allah yang memberikan akal dan fikiran yang waras kepadanya, Allah menjadikan alam ini dalam keadaan mudah digunakan manusia. Pengetahuan yang diperolehinya haruslah bertujuan mencari kebajikan dan keredhaan Allah.

1.10 Islam adalah undang-undang

Islam telah membawa hukum-hukum (undang-undang) untuk mengatur hubungan individu antara sesama mereka. Islam telah menaskan hukum-hukum dan balasan terhadap mereka yang melanggar undang-undang tersebut, sama ada hukum dan balasan itu bersifat sivil yang dilaksanakan ke atas harta atau perbuatan jenayah yang dilaksanakan ke atas anggota penjenayah terhadap kebebasan atau hartanya.

1.11 Islam adalah ilmu

Ilmu yang dimaksudkan oleh Mursyid ialah makrifat dan mengenali hakikat sesuatu dengan tepat sebagaimana kenyataan, mengetahui sesuatu yang diturunkan Allah, mengetahui tujuan manusia diwujudkan dan kehidupan akhirat yang mengakhiri kehidupan manusia. Dalam Al-Quran disebutkan:

“Allah mempersaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Dia, yang menegakkan keadilan,para malaikat dan orang-orang yang berilmu”. (S 3:18) Firman Allah lagi:

“Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”. (S 39:9)

Orang yang berilmu haruslah menggunakan ilmunya hanya semata-mata mencari keredhaan Allah. Secara sedar dan insaf beliau haruslah membersihkan diri dan yakin bahawa apa yang diketahuinya amatlah sedikit berbanding dengan apa yang tidak diketahuinya. Allah berfirman:

“Dan tidaklah kamu diberi ilmu kecuali sedikit”. (S 17:85)

dan beliau haruslah menambah lagi ilmu pengetahuannya. Firman Allah:

“Katakanlah, Ya Tuhanku tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan. “(S 20:114)

1.12 Islam adalah kehakiman

Islam adalah kehakiman, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Al-Mursyid, adalah bermaksud bahawa salah satu dari manhaj (method) Islam ialah menghukum antara sesama manusia, kerana manusia amat memerlukan seorang hakim yang dapat menghukum dan menyelesaikan perselisihan mereka serta dapat mengembalikan hak kepada yang ampunya hak.

1.13 Islam adalah kebendaan atau usaha dan kekayaan

Dengan ini Al-Mursrjd bermaksud bahawa Islam tidak mencuaikan soalsoal kebendaan. Islam mengambil berat soal-soal rohani dan juga soal-soal kebendaan, tetapi seorang Muslim haruslah mengawasi hatinya agar ikhlas kepada Allah, beliau tidak seharusnya diperhambakan oleh kebendaan sekalipun kebendaan itu merupakan kekayaan yang tinggi menggunung.Muslim berhak melakukan kerja-kerja yang mendatangkan penghasilan dengan syarat kerja-kerja yang dilakukan itu halal, tidak diharamkan syariat. Beliaulah yang berhak menerima hasil usaha dari penat lelahnya, kerana milik perseorangan adalah dihormati dalam Islam. Milik perseorangan tidak harus dicerobohi atau dirampas.

1.14 Islam bererti jihad

Islam adalah jihad, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Mursyid adalah bermaksud bahawa Islam telah mewajibkan jihad. Hakikat jihad adalah mengorbankan seluruh tenaga pada jalan Allah, sekalipun sesuatu yang dikorbankan itu merupakan darah yang ditumpahkan dalam medan perang. Jihad tidaklah terbatas pada pengorbanan jiwa sahaja, malah termasuk juga pengorbanan harta benda, jihad pena dan lidah.

1.15 Islam adalah dakwah

Islam juga mewajibkan Muslim melakukan dakwah, menyeru kepada Islam melalui wasilah yang dihalalkan syariat seperti penulisan, ceramah, perbicangan, melakukan pengembaraan atau rombongan dan lainnya. Wasilah yang paling penting dan berkesan dalam dakwah ialah dengan cara seorang Muslim mencorakkan dirinya dengan corak Islamiah yang membolehkan beliau menyeru manusia lain kepada Islam, kerana mereka yang diseru dapat melihat pada dirinya suatu contoh yang hidup dengan nilai-nilai Islam.

Berdakwah menyeru kepada Islam adalah menjadi kewajipan tiap-tiap Muslim.Firman Allah:

“Katakanlah: ‘Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutkan menyeru(kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha suci Allah, dan aku tidak termasuk ke dalam golongan orang musyrik’. “ (S 12: 108)

Selain dari itu, sebahagian dari kewajipan dalam Islam ialah menegakkan jamaah yang berdakwah kepada jalan Allah, jamaah yang dapat menyatukan pendakwah-pendakwah, agar dengan penyatuan ini kesan dari pengaruh mereka akan lebih besar dan berfungsi dalam kehidupan manusia. Firman Allah:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan,menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang beruntung”. (S 3:104)

1.16 Islam adalah ketenteraan

Adalah menjadi kenyataan bahawa menyediakan kekuatan tentera adalah memerlukan kepada perajurit, bekalan dan senjata. Oleh yang demikian tiap-tiap individu ummat Islam haruslah mendapat didikan ketenteraan baik dari sudut disiplin, ketaatan, membiasakan mereka menanggung kesukaran, hidup yang tidak mengenal rehat dan berperaturan di samping menyediakan pelbagai bentuk persenjataan.

1.17 Islam adalah fikrah

Fikrah Islamiah perlukan suatu bentuk pendekatan yang baru dan penerangan yang cukup, agar umat Islam dicorakkan dengan fikrah Islamiah. Inilah yang diusahakan oleh Ikhwan sekadar kemampuan dan kekuatan mereka.Dunia hari ini telah menjadi medan pertarungan fikrah-fikrah yang beraneka ragam. Fikrah-fikrah ini dilatar belakangi oleh negara yang menganutinya.Negara-negara ini menggunakan seluruh tenaga dan kekuatannya untuk menyebar dan mempertahankan fikrah tersebut, tetapi tidak ada sebuah negara pun hari ini yang menganuti fikrah Islamiah dan tegak di atas prinsip-prinsip Islam serta menyumbangkan seluruh tenaga dan kekuatannya untuk mempertahankan dan menyebarkan Islam.

1.18 Islam adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah

Akidah yang dimaksudkan oleh Mursyid ialah suatu pegangan yang diterima dan dipersetujui oleh hati. Akidah atau pegangan seperti ini boleh jadi benar atau salah. Andainya akidah itu benar, maka itulah akidah yang hakiki, tetapi sebaliknya akidah itu salah, maka itulah akidah yang batil, rosak dan dusta. Tidak ada dalam dunia ini akidah yang sebenarnya selain dari akidah Islam. Akidah-akidah lain yang menyalahi dan bertentangan dengan akidah Islam adalah merupakan akidah-akidah yang batil dan sesat.Akidah Islam tegak di atas iman kepada Allah, malaikat,kitab-kitab yang diturunkan dari langit, rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah, hari akhirat dan mengimani bahawa Qadha dan Qadar adalah dari Allah.

1.19 Islam adalah ibadat yang sah

Semua ibadat-ibadat ini tegak di atas dua asas: pertamanya, ibadat-ibadat ini haruslah menurut apa yang telah disyariatkan Allah; keduanya, ibadat-ibadat ini haruslah ikhlas kepada Allah semata-mata.

WALLAHU A'LAM

0 comments

Post a Comment